22 November 2012

PERGI TAK KEMBALI

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Tanggal 5 Muharam 1434H bersamaan 19 November 2012M, tok saya (ibu kepada mak saya) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada jam 6:00 pagi selepas Azan Subuh, beliau dijemput oleh Penciptanya. Tok meninggal disebabkan sakit tua. Maka hari tersebut diselubungi dengan perasaan hiba yang dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Hujan lebat membasahi bumi seakan-akan turut menangisi pemergian tok.

Pada hari pengebumian tok, segala urusan berjalan lancar. Alhamdulillah, syukur pada-MU ya ALLAH. Saya sempat menyedekahkan bacaan Yaasin kepada tok. Segala urusan pengebumian dilakukan oleh anak dan cucu tok sambil dibantu oleh penduduk kampung. Perasaan sayu dan pilu menyelubungi hati saya tatkala diberi kesempatan untuk memandikan tok. Saya berasa pilu kerana membayangkan bahawa sekujur tubuh di hadapan saya ketika itu ialah diri saya sendiri, bukan tok. Terasa kematian itu sungguh dekat dengan diri ini.

Ramai sanak- saudara dan orang kampung yang hadir untuk melihat tok buat kali terakhir. Mereka turut menyedekahkan bacaan Al-Fatihah.

Beberapa kenangan yang masih segar diingatan saya tentang tok ialah dirinya yang suka memuji jika melihat sesuatu yang cantik. Pernah suatu hari saya dipuji oleh tok kerana memakai baju kurung berwarna jingga, bercorak bunga kecil.

"Amboi, lawa ehh.. Cantik baju warna merah..," kata tok.
Saya hanya tersipu-sipu senyum dengan pujian yang diberikan itu. :)

Keistimewaan tok saya ialah kehebatannya yang pandai memasak. Yelah, 'orang lama' lah katakan. Kami amat gemar memakan air asam yang dibuat oleh tok. Terasa 'kick' air asam tersebut. Pedasnya bukan kepalang, tetapi itu yang mengikat selera. Hehe. Bagi orang Kedah macam saya ni, air asam amat sedap sekiranya dicicah dengan daging bakar. Boleh dibuat pencicah dengan ulam-ulaman.

Kini, segala-galanya hanya tinggal kenangan. Tok pergi bertemu dengan Penciptanya yang haq. Semoga roh tok dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.

Al-Fatihah.